Hampir sebulan kelas tamat, hampir sebulan juga tidak kemana-mana. Hanya terperuk di dalam bilik dan sesekali ke universiti untuk menghabiskan test2 yang tertangguh. Hampir sebulan jugalah saya tidak keluar berjalan-jalan. Duduk menghadap buku-buku yang ketika hari-hari biasa tidak berkesempatan untuk dibuka.
Semalam saya sengaja keluar kerana otak ini meminta untuk direhatkan seketika, menghirup udara musim panas. Secara jujurnya, tidak suka sangat untuk keluar berjalan walaupun setiap kali keluar , tiada belanja yang digunakan lebih-lebih lagi musim panas di sini. Berbanding ketika musim sejuk, saya lebih suka untuk keluar menikmati keindahan malam ketika musim tersebut. Musim sejuk semacam musim menutup aurat, hampir semua orang menutup bahagian badan, dari atas sehinggalah ke bawah. Jadi keluar ketika musim sejuk, lebih saya sukai berbanding keluar ketika musim panas ni.
Keluar berjalan-jalan adalah salah satu cara untuk melegakan sakit kepala, dan sekaligus merenung kembali usaha-usaha yang telah dilakukan dan kesimpulan-kesimpulan atau iktibar setiap minggu. Semua ini lebih saya sukai buat ketika duduk sendirian dengan kata lain sunyi dari kawan-kawan.
Bermulanya Perjalanan
Ketika sebelum keluar , saya memilih untuk memakai baju berlengan panjang. Walaupun sebelum-sebelum ini memang selalu berlengan panjang ketika keluar, tetapi semalam , sebelum keluar semacam ada teguran @ iktibar dari kejadian beberapa hari lepas, yang ketika itu saya memakai baju berlengan pendek, hanya setakat siku. Akibatnya, ketika sedang beratur menaiki bas, tersentuh kulit dengan seorang wanita yang dia berebut-rebut untuk menaiki bas. Cukuplah sekali itu sebagai pengajaran untuk diri , jika mahu keluar ,berpakai dengan memakai t-shirt berlengan panjang lebih menjaga keselamatan diri berbanding lengan pendek.
Kadang-kadang ada juga teguran , ada teguran dari kawan-kawan, mengapa suka sangat berlengan panjang, tidak panas ke? Tidak rasa rimas? Dan kadang-kadang juga saya disebabkan selalu menerima pertanyaan begini, ada yang dilayan ada yang hanya sekadar senyuman meniti di bibir.
Meniti Keindahan
Perjalanan kali ini, saya memilih menaiki bas, dari hadapan hostel menuju ke pusat bandar. Perjalanan hampir 2 jam di dalam bas (jika menaiki metro, hanya 30 minit) banyak memberi pengajaran dalam melihat cara kerja Tuhan dalam kehidupan. Sedikit sebanyak mengurangkan keserabutan di kepala.
Sepanjang perjalanan , isu yang utama bermain di kepala hanyalah isu keberkatan, isu makanan. Belakangan ini jugalah, banyak mengajar saya agar lebih berhati-hati terhadap isu ini, kerana ianya banyak memberi impak dalam kehidupan seharian. Tersalah makan sedikit, habis celaru kepala, kegelisahan di hati. Akhir-akhir ini jugalah banyak terkenang mengapa abah suka memberi nasihat tentang makanan, walaupun kadang-kadang terlepas pandang, tetapi hidup di bekas bumi soviet ini banyak mengajar erti keberkatan.
Izinkan Saya Berbicara
Kita kembali ke perbincangan utama, mengapa lebih suka makan di rumah? Tajuk keberkatan ini tajuk besar, saya kecilkan kepada skop makan diluar vs makan di rumah. Mungkin hasil didikan , saya lebih suka untuk makan di rumah. Jika makan di rumah, lebih-lebih lagi yang dimasak oleh seorang ibu atau ayah, disitulah titik keberkatan paling besar.
Seorang ibu terutamanya, apabila ia memasak, ia masak dengan penuh kasih sayang. Di bayangannya hanyalah memberi kepuasan kepada suami tercinta dan anak-anak yang disayangi. Seorang ibu, dengan kasihnya, dia berusaha memasak sebaik mungkin untuk suaminya yang letih membanting tulang mencari rezeki untuk kehidupan sekeluarga.
Seorang ibu dengan sayangnya, dicurahkan pada masakan untuk anak-anak yang lelah memeras otak sehari suntuk digunakan dalam mencari ilmu. Dengan cinta jugalah seorang ibu dan isteri membuat yang terbaik dalam mencukupkan keperluan rohani dan jasmani bagi orang-orang yang dicintainya, suami dan anak-anak.
Inilah kunci utama yang membezakan masakan di rumah berbanding masakan dikedai. Di kedai, mungkin masakannya sedap, tetapi mungkin disebabkan ianya tidak disulami dengan kasih sayang seperti kasih sayng seornag ibu, ia menjadi kurang tarikan, kurang istimewa.
Kebersihan dan Kebaikan Terjamin
Apabila seseorang ibu/ayah ingin memasak di rumah, perkara pertama yang dicari adalah bahan-bahan yang akan dimasak. Ini tidak lari dari mencari bahan-bahan ini di pasar@kedai2. Semasa pencarian bahan-bahan ini, bahan-bahan yang tebaik dan terelok menjadi keutamaan dalam pemilihan bahan-bahan ini.
Pengalaman bersama ayah dan ibu mengikut mereka ke pasar membeli barangan dapur, membuktikan bahawa keutamaan dalam mencari bahan-bahan mentah ini adalah dari sudut kesegaran dan kebaikan yang ada. Jika didapati sudah rosak walaupun sedikit ataupun sudah sedikit layu, pasti dicari yang lain. Ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa makanan di rumah merupakan masakan terbaik yang didapati oleh seseorang.
Terhindar Dari Kesamaran
Kesamaran perkara terpenting dalam menghadapi makanan di restoran. Kesamaran dari sudut siapa tukang masak. Nilai seorang tukang masak adalah terletak pada jaraknya dengan Tuhan. Sejauh mana pengabdian dirinya dengan Tuhan. Jika tukang masak menjaga solatnya yang 5, insyaallah, makanan yang dihasilkan akan terkena tempias dari perlakuan kehambaannya.
Jika solatnya yang lima masih merangkak-rangkak dengan kata lain ada sahaja yang ditinggalkan diremehkan, apakah boleh dijamin masakannya bebas dari keraguan? Solat merupakan asas terpenting dalam menunjukkan sifat kehambaan. Seorang tukang masak yang kenal apa erti berTuhan, maka seluruh hidupnya akan dicurahkan pada sistem yang berTuhan. Maka secara automatiknya makanan tadi akan tercurahkan juga sifat kehambaan yang ada pada dirinya.
Maka , kita yang berada di bumi asing ini, lebih mudah untuk mencari makanan yang penuh keberkatan, berbanding ketika berada di bumi yang penuh dengan umat Islam. Kerana apa? kerana sikap berhati-hati kita dan sikap menjaga makanan kita agar tidak terlepas pada yang tidak terjamin keselamatan dan kehalalan toyyiba (halal lagi baik) yang ada padanya.
Kerana itu, apabila sesuatu kedai, menjual padanya arak ataupun daging babi/daging yang tidak disembelih dengan cara Islam, maka kita dengan sendiri akan merasa ragu pada kedai tersebut walaupun diakatakan bahawa kedai tersebut menjual makanan halal.
Ini kerana , mustahil seorang muslim yang menjaga sifat kehambaannya pada Tuhan akan mencampur adukkan benda yang jelas halal dan jelas haram dalam sesuatu masa.
Juga seorang muslim tidak akan mencari harta dalam kehidupannya dengan menjual perkara yang dilarang oleh Allah. Babi dan Arak sudah jelas diharamkan, maka seorang Muslim akan menghindarkan dirinya dari terus terjebak dengan dua benda ini, sama ada sebagai pengedar, penjual, atau sebagainya.
Kemewahan Dalam Berbelanja
Sesuatu makanan yang dimasak di rumah, selalunya sekali masak, maka ianya boleh bertahan selama satu hari, ataupun boleh disimpan sehingga hari berikutnya. Setiap butir nasi yang ada, pasti akan dihabiskan agar tidak berlaku pembaziran.
Berbeza dengan membeli di luar. Ada kala, sesuatu menu atau masakan yang dibeli diluar, boleh dibuat belanja untuk dua hari atau tiga hari. Itu untuk sekali beli, apabila selalu membeli di luar, maka banyak yang perlu dibelanja.
Teringat pesan salah seorang guruku ketika dalam pengajian :
“kita nak makan, kurangkan makan di luar, makan di luar penunjuk kemewahan, bukan semua orang boleh makan di luar.
Kita perlu menjaga diri kita, jaga dari kecilkan hati orang lain. Kadang-kadang , ketika kita makan di luar, terlihat orang-orang miskin , orang-orang yang tidak mampu hanya sekadar kerlingan dari mata mereka.
Sekadar mengharap dari hati kecil mereka bahwa mereka berharap suatu hari nanti mereka akan boleh bersama makan di restoran-restoran. Ada kadang-kadang, ia juga membawa kecil hati mereka rasa tuhan tidak adil.
Dan boleh jadi, ketika kita makan, ada orang yang meminta memberikan sedikit pemberian agar mereka juga boleh menumpang sama dalam menikmati juadah, tetapi yang diberi hanya beberapa nilaian yang tidak cukupo untuk mereka turut sama menimati hidangan “
Ayat ini masih terngiang-ngiang di telinga. Ketika di Malaysia, mungkin tidak berapa terasa dan faham ayat yang dipesan ini, tetapi ketika di sini, di Rusia ini, selalu ketika makan , ada sahaja peminta simpati agar diberikan sedikit dari wang saku untuk mereka menikmati sama bagi mengisi perut mereka. Sungguh berharga nilaian harta yang ada pada diri.
Kita yang masih berada di bangku penuntut ilmu, sepatutnya menghindari sebarang aktiviti atau pekerjaan yang menunjukkan ktia dikalangan orang yang mewah. Sikap kesederhanaan itu yang dituntut. Kesederhanaan menjamin keberkatan ilmu yang ada. Keberkatan itu adalah apa yang dihasilkan dari ilmu. Mahu mengetahui sesuatu ilmu berkat , adalah apabila dengan ilmu tersebut, ianya lebih mendekatkan diri kita kepada Allah.
“Sesungguhnya orang-orang yang takut dikalangan hamba-hambaku adalah dari kalangan orang-orang yang berilmu” (alquran)
Di sini ada kesinambungan dari ilmu kepada takut dan sifat kehambaan seorang manusia.
Harta yang didapati dari biasiswa dan tajaan, adalah harta yang dikumpul dari sekecil-kecil manusia, dari seorang petani, pemandu teksi, pemandu bas, pencuci longkang, pembungkus sampah sehinggalah semewah-mewah manusia di Malaysia. Tidaklah patut kita menggunakan harta yang diberikan kepada kita itu ke jalan yang tidak sepatutnya.
Ingatlah dalam kemewahan kita, punyai kesengsaraan manusia lain yang mengharapkan agar suatu hari nanti , mereka mendapat kebaikan dari ilmu yang kita dapati di bumi asing ini.
Kenapa Keberkatan?
Keberkatan selalu berkaitan dengan hati, jiwa. Hati yang bersih selalu mencari agar meraih keberkatan dalam setiap pekerjaan dalam kehidupan.
Seseorang Muslim akan terasa sesuatu apabila sesuatu pekerjaan yang dilakukan itu kurang keberkatan padanya. Hatinya pasti resah, jiwanya gelisah, akalnya memberontak apabila pekerjaan yang dibuat lari dari sifat keberkatan.
Hati merupakan tempat pandang Tuhan pada manusia. Manusia , ada memandang pada rupa, betapa cantiknya seseorang, maka tinggilah nilaiannya di mata manusia seperti artis-artis. Ada yang memandang pada suara, betapa merdunya. Ada yang memandang kekayaan. Maka selayaknya manusia itu di sisi Tuhan adalah sejauh mana hatinya bersih dari segala sifat kekotoran. Inilah matlamt kita sebagai seorang muslim, berusaha mencantikkan dan mengindahkan tempat jatuh pandangan Tuhan pada kita.
Seseorang yang cantik , apabila dikatakan padanya, rambutnya ada masalah sedikit, pasti akan dia membetulkan dengan sebaik mungkin agar tidak nampak kecacatan pada mata sipemandang. Seseorang yang kaya, akan berusaha menjadi lebih kaya apabila dikatakan padanya bahawa kekayaannya tidak setara mana. Begitulah seorang muslim, akan bersungguh agar hatinya,tempat tumpah pandangan Tuhan padanya akan menjadi pandangan terbaik, seterusnya meraih simpati, rahmat dan redha Tuhan yang Maha Penyayang
lagi Maha Pemberi Rahmat.
Kemana Hala Tuju Sebuah Keberkatan?
Mengapa kita bersusah payah dalam menjaga diri? menjaga makanan yang masuk ke perut? Lebih banyak makan di rumah? Kerana apakah? Apakah hanya soal keberkatan? Apa dia keberkatan?
Inilah perkara yang kita kurang jelas. Cuba kita hayati petikan ayat-ayat ini :
“wah,sedap sayang masak hari ni.” kata seorang suami pada isterinya
“sedapnya…masakan ni nama apa ma?” kata seorang anak pada ibunya.
“inilah masakan yang paling ditunggu2..tak sangka abang ni pandai masak ye..” puji seorang isteri pada suami.
Apakah yang terhasil dari ungkapan2 sebegini di dalam sebuah keluarga? Apabila seorang isteri memuji suami, seorang anak menghargai seornag ibu, seorang isteri menyayangi suami…apakah yang terhasil?
Inilah yang terhasil dari keberkatan makan di rumah. Keeratan hubungan kekeluargaan. Keintiman anak dengan ibu, kemesraan suami dengan isteri, kebahaagian seisi keluarga, dari hasil selalu bersama dan saling memuji.
Seorang isteri apabila dipuji, dia akan merasa dihargai dan pasti akan dikekalkan prestasinya atau dia akan mencari cara agar ditingkatkan usahanya ke arah lebih baik. Apakah seornag isteri atau suami akan mendapat pujian jika mereka makan diluar? Tidak. Yang mendapat nama adalah kedai, yang aman ianya orang yang di luar bidang kita.
Apabila sesuatu itu kurang mendapat manfaat, maka akan kuranglah keberkatan yang ada padanya.Kita boleh lihat bahwa orang-orang yang berjaya, adalah mereka yang setiap pekerjaan mereka adalah banyak bersama keluarga.
Kita hidup di zaman yang penuh pancaroba. Zaman yang perceraian menjadi isu yang kian menjadi bahan mulut. Mungkin dengan isu makan di rumah ini ia menjadi titik tolak dalam menjalin kembali ikatan kekeluargaan yang kian rapuh di dalam anggota masyarakat kita.
——————————————————————–
*Artikel ini tidaklah menolak 100% untuk makan diluar, cuma jika kadang-kadang itu tidak menjadi masalah.
Volgina Street, Konkova,
117437,Moscow.
Posted by As on 4 Julai 2008 at 7:47 pm
mantap artikel ni, kena bg mak2 baca
And again, malu lak jadi wanita, yang lelaki lebih nak jaga diri dari bersentuhan, tp wanita hari ni macam2 ragam..aurat macam barang mainan.
patutnya wanita lebih rasa nak jaga kan..
peringatan untuk diri sendiri..
p/s: eh lari topik lak
Posted by Ghazwanie on 16 Ogos 2009 at 2:06 pm
Salam akhi…
Tulisannya mantap. Teruskan menulis. Moga dgn tulisan akh dapat menggetarkan hati yg membaca.
Salam dari Bumi New Zealand.
Posted by anahabibullah on 5 November 2009 at 2:32 pm
salam perjuangan n salam ziarah,
nice article, syukran atas perkongsian..
akh, nk mnta pandgn pasal facebook bleh?
ana dgr fb dikaitkan dgn zionis. kesahihahnnya??
dan apa komen akh?
Posted by umaralfateh on 5 November 2009 at 9:45 pm
facebook, no komen..
bergantung pada individu sama ada mahu menjadikannya sebagai medan dakwah atau sebaliknya.
pandangan ana, cari betul2 sumber tersebut, dan buat penelitian.
in sya allah, akan jelas yang mana patut dibuat keputusan.
Posted by Siti Noor Syazwana on 7 November 2009 at 1:53 pm
Salam alaik..
Cuba baca di sini tentang FB : http://saifulislam.com/?p=6714.
Moga dapat membantu..