Iluvislam.com Dan Wonderful Overseas Weekend (WOW)

Iluvislam.com(baca entry tentang program ini di iluvislam)

————————————————————————————–

Program yang dibuat oleh komuniti iluvislam.com dan KRIM yang berlangsung di Bukit Cerakah 1-3 Ogos yang lalu untuk pelajar-pelajar yang akan terbang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di pelbagai Negara seperti, United Kingdom , Ireland, Perancis, Poland , Russia , Republik Chech dan Jerman.

Tiga hari yang cukup bermakna buat diri ini. Berjumpa dengan sahabat-sahabat yang tidak pernah dijumpai sebelum ini, yang bertemu di alam maya kebanyakannya, kini sudah lebih mengenali. Sedikit cemburu pada mereka, kerana tingginya iltizam mereka dengan Islam. Masa mula-mula berkenalan dan berjumpa di pagi jumaat , saya agak kekok dan perasaan rendah diri itu timbul apabila berhadapan dengan sahabat-sahabat dari UK dan Ireland ini. Perasaan itu selalu timbul bila berjumpa dengan kenalan-kenalan yang nilai hidup mereka Islam sebagai cara hidup.

Saya cuba menyesuaikan diri bersama mereka, alhamdulillah, selepas sahaja Solat Jumaat, kemesraan mula terjalin. Rasa seronok mula menyelubungi diri. Manakan tidak, walaupun saya macam pendatang asing, (hanya saya seorang dari soviet, dan seorang sahabat dari Czech), kebaikan mereka sangat terserlah dan budi pekerti mereka sangat halus. Dalam perbualan, saya agak berhati-hati kerana rasa macam kekok sket, tetapi , lama-lama, semua dikeluarkan. Huhu. Seronok.

Program ni, saya membuat keputusan last minute untuk hadir, dijemput oleh seorang ajk program untuk hadir sekali dan berkenal-kenalan dengan sahabat-sahabat baru. Mula-mula agak segan dan perasaan rendah diri hadir, tetapi diketepikan perasaan itu, kerana mahu mengambil peluang bekenalan dengan mereka-mereka yang menjadikan Islam sebagai cara hidup. Memang satu keseronokan bekerja bersama mereka selama hampir tiga hari.

Apa yang Kamu Lihat Menentukan Siapa Kamu

Di dalam salah satu slot latihan di dalam Kumpulan, kami 4 orang fasilitator memberi sebiji batu dan sebantang pensel kepada para peserta program (ahli kumpulan kami yang terdiri dari peserta2 yang akan melanjutkan pelajaran ke luar Negara –Rusia, UK, Perancis) . Kami meminta agar peserta menyenaraikan apa yang mereka lihat.

“Alat tulis yang diperbuat dari kayu” jawab seorang peserta.

‘Ada warna hitam dan kuning’ jawab seorang lagi.

‘ boleh baling kat orang ‘ jawab seorang peserta dengan nada berseloroh. Kami ketawa.

Sunyi. Masing-masing berfikir.

“ada lagi ke nak berikan pandangan?….macam mana pulak dengan pandangan fasi2..” Tanya seorang fasi kepada semua.

Kami para fasi saling memandang satu sama lain.

“Syazwan, anta macam nak kata sesuatu je. Silakan” kata seorang fasi kepada saya.

Saya diam seketika.

“hmm…ni hanyalah pandangan saya tentang dua benda ni. Pandangan kamu semua betul, kamu betul, kamu betul.Cuma ini hanyalah pandangan kecil saya sahaja. Saya bila lihat pensel ni, saya teringat tentang surah AlQalam (Pena). Bagaimana isi surah tersebut , tentang perkara-perkara yang telah dicatat tentang apa yang akan terjadi sehingga hari kiamat.”

Peserta-peserta berpandangan sesama sendiri.

“ dan bila saya melihat batu ni, saya teringat tentang ayat di dalam alquran yang berbunyi :

“wahai orang-orang yang beriman , peliharalah diri kamu dan ahli-ahli kamu dari api neraka, sesungguhnya bahan apinya adalah terdiri dari manusia dan batu….”

Ahli kumpulan kami berpandangan sesame sendiri. Semua menumpukan perhatian terhadap apa yang dibincangkan. Saya cuba menerangkan bagaimana cara kita melihat itu menentukan bagaiamana kita berfikir. Membetulkan paradigma dalam berfikir sangat penting sebelum berlepas ke luar Negara. Latihan dalam kumpulan yang pertama ini, hanyalah perkongsian kami yang sudah berada di luar Negara dalam berkongsi pengalaman dan pembetulan niat dalam meniti kehidupan sebagai kaum minority di Negara asing.

Bagaimana Kita Meihat Dunia

Cara kita berfikir banyak ditentukan dengan bagaimana keadaan hati kita dengan dunia ini. Apabila hati kita betul-betul meletakkan dunia sebagai penghubung akhirat, maka penglihatan kita akan melihat segala yang berlaku sebagai batu loncatan dalam meraih keredaan Allah. Keadaan hati sangat penting dalam membantu kita melihat dunia ini. Apabila hati kita bersih dan tumpuan kita hanyalah mencari keredaan Allah, kita akan dapat melihat dunia ini, semua yang tersurat dan yang terpenting kita akan dapat melihat apa di sebalik semua yang berlaku.

Inilah asas penting dalam kita menilai cara pandang kita terhadap sesuatu. Apabila kita menjadikan hidup dan mati kita untuk Islam, dan menjadikan Islam sebagai kehidupan sehari-hari tanpa pemisahan antara dunia dan akhirat, maka cara pandang kita terhadap dunia ini dan segala apa yang terjadi sebagai batu loncatan dalam mengharungi kehidupan.

Membersihkan jiwa sangat penting dalam kita meniti kehidupan ini. Ianya sangat membantu dalam kita menilai kembali kehidupan yang sedang berlangsung. Setiap yang kita lihat, apa yang berlaku segalanya akan menjadi ibadah apabila segalanya dihubungkan dengan akhirat. Inilah yang membantu kita dalam menjadikan hidup dan mati kita hanyalah untuk Pencipta Sekalian Alam ini.

Kenapa Belajar Ke Luar Negara?

Latihan dalam kumpulan yang kedua membincangkan tentang kemana arah tuju kita dan niat belajar di luar Negara.Ianya membincangkan isu niat di hati.

Kami cuba berkongsi apa yang dilalui dengan sahabat-sahabat yang akan melalui perjalanan baru dalam hidup mereka.

“Saya nak belajar luar Negara sebab dapat tawaran, jadi taknak lepaskan peluang yang bukan semua orang dapat” jawab peserta A.

“Saya nak luaskan pandangan, dan melihat manusia. Sebab yang diketahui, kat Malaysia ni perasaan prejudis tu tinggi. Jadi nak cuba lihat bagaimana kat luar Negara pulak.” Peserta B menambah.

“Mahu rasa suasana baru” Peserta C pula menjawab.

“Maksudnya kebanyakan dari kita ada pandangan tersendiri dalam mencari alasan mengapa mahu belajar ke luar Negara kan?…” soal seorang fasi kepada peserta2 dalam kumpulan 5.

Kebanyakan dari mereka mengangguk.

“Mengapakah soalan ini penting?” sambungnya lagi.

“Ia penting kerana jawapan yang kamu akan dapat nanti akan menentukan paradigma kamu berfikir nanti. Jika jawapan kamu biasa-biasa sahaja, maka apa yang akan kamu dapat nanti hanyalah pencapaian yang biasa-biasa sahaja.”

Mengapa Saya Mahu ke Luar Negara?

“izinkan saya untuk bercakap sedikit mengapa saya mahu ke luar Negara…” saya mencelah ketika isu ini hangat bermain di kepala peserta-peserta

“hajat untuk ke luar Negara datang dari dalam diri saya sendiri, dan saya memilih Rusia adalah di atas pilihan saya sendiri.” Saya memulakan perkongsian dengan sahabat-sahabat peserta.

“Dan mengapa saya memilih untuk ke Rusia kerana, di samping untuk belajar perubatan di sana, tetapi juga kerana ingin mencabar iman yang ada dalam diri saya ini. Ayah saya selalu cerita tentang Rusia, tentang komunis, kesusahan umat Islam disana dalam mempertahankan keimanan mereka. Kerana itu saya memilih Rusia sebagai destinasi ilmu saya. Ilmu agama yang ada dalam diri ini, saya ingin mencabarnya sejauh mana saya beriman kepada Allah?..Sejauh mana saya mengaku cinta pada Allah?…

Sejauh mana saya mengaku quran sebagai sumber rujukan saya?…Soalan-soalan inilah yang membawa saya untuk mencabar diri saya untuk melihat sejauh mana saya boleh berpegang dan mengamalkan agama yang ada pada diri ini ketika suasana mencengkam diri ini. Ketika biah atau suasana tidak membantu dalam mengamalkan Islam, adakah saya berupaya untuk mengekalkan kehidupan beragama, inilah penyebab mengapa saya memilih ke Rusia , dengan kata lain saya memilih untuk berada di Negara , Muslim sebagai minority.”

Kemuncak saya dihujah dengan persoalan berkaitan iman ini adalah ketika saya berpeluang membuat attachment di sebuah hospital di Moscow hari tu. Pada satu malam, saya meronda ke bilik-bilik pesakit, dan duduk berbual. Bilik tersebut semuanya pemuda-pemuda. Kami berborak dari cerita-cerita tentang Malaysia , dan kemudiannya ditanya berkaitan agama yang saya anuti.

“Kamu makan babi tak?”

‘tidak’

“serius?”

‘ya..dalam hidup saya tak pernah membeli babi sebagai hidangan’

“Kamu ni memang *&^%%$#@@!”

Terkesima saya ketika itu, manakan tidak, dikelilingi oleh pesakit-pesakit lelaki, dan diherdik dan diberikan kata-kata kesat seolah-olah saya sedang melakukan kesalahan paling besar!!. Saya masih cuba mengawal kata-kata.

Kemudian perbualan kami bersambung lagi. Kali ini, ditanyakan berkaitan wanita-wanita.

“Kamu dah kahwin?’’

‘belum’

“kamu pernah tidur dengan perempuan?”

Satu lagi kejutan pada saya. Tidak pernah terlintas untuk ditanyakan soalan sebegini.

‘Tidak’

“betul kamu tak pernah tidur dengan perempuan?’’

Kali ini saya hanya mengangguk.

“Kami sebagai Muslim diajar agar menjauhkan diri dari segala pergaulan bebas….”

Saya mencari ayat menyusun kata. Sebelum saya menyambung,

“Perempuan kamu juga tidak pernah tidur dengan lelaki sebelum kahwin?”

‘Tidak’ jawapan saya agak tinggi.

“huh..kamu ni memang gila, macam mana boleh kamu berkahwin dengan orang yang tidak ada pengalaman langsung. Aku kalau kahwin sekurang-kurangnya bakal isteri aku sudah tidur 10 kali dengan orang lain” kata mamat ni yang dah kahwin dan punya anak seorang.

Telinga saya agak berasap ketika itu. Sudah tidak tahu mahu berkata apa. Malam itu saya mengetahui satu nilai ‘mereka’. Betul-betul membuka mata saya terhadap apa yang dikatakan cabaran.

“Alhamdulillah, kini ketika sudah hampir tiga tahun saya di sana, akan masuk tahun ketiga pada bulan Sembilan ni, saya bersyukur, sekurang-kurangnya saya tahu dimana tahap saya sekarang dalam kehidupan beragama.”

Kami malam itu, sama-sama berkongsi serba sedikit pengalaman hidup di Negara muslim sebagai golongan minority. Saya agak banyak bercoleteh malam itu, entah mengapa suka untuk berkongsi apa yang telah dilalui serba sedikit.

Mengapa Soalan Itu Penting?

Persoalan iman sangat penting ketika sebelum berangkat ke luar Negara. Apabila berniat untuk mendapat segulung ijazah, maka ijazah pasti akan diperoleh insyaallah. Tetapi dalam proses mendapatkan segulung ijazah itu, pelbagai perkara akan berlaku, dan kebanyakannya berkaitan persoalan nilai hidup yang dipegang. Nilai itu banyak berkaitan agama yang dianuti.

Apabila hidup sebagai muslim di luar Negara ini, kita akan menghadapi pertentangan nilai dalam beberapa aspek kehidupan dan membuatkan kita akan semakin kabur dengan apa yang dipegang sebelum ini jika kita tidak peduli dengan apa yang berlaku. Manakan tidak berlaku pertentangan apabila nilai yang dipegang berkaitan pergaulan bebas yang tidak dibolehkan dalam Islam tetapi suasana lelaki perempuan berciuman di sana sini membuatkan apa yang dipegang agak menjadi longgar jika kita masih tidak peduli tentang iman kita.

Walaupun ada baiknya duduk di luar Negara dan membuka mata kita dalam serba sedikit perkara, tetapi persolan iman adalah perkara yang perlu diambil berat. Apakah kita berupaya beragama tatkala suasana keliling bukan suasana beragama? Apakah betul kita beriman pada Allah? Apakah quran sebagai panduan hidup? Apakah Islam sebagai cara hidup?

Apabila persoalan-persoalan ini kita dapat jawab pada diri kita dan kita melihat bukti pada apa yang kita amalkan, maka insyaallah, kita hampir selamat dengan Islam dan Iman yang ada pada kita kerana Islam yang ada pada diri itu bukan lagi ISLAM SUAPAN bahkan ISLAM sebagai The Way of Life.

Tiada lagi yang mahu menegur apakah sudah solat atau tidak.

Tiada lagi yang peduli bilakah kita mahu bangun tidur, sudah subuhkah atau belum.

Tiada lagi yang memberi nasihat-nasihat apabila kita silap.

Yang ada hanyalah ilmu di dalam diri, apakah mahu diamalkan atau dibiarkan. Tatkala diamalkan , itulah iman.

Tepuk dada, tanyakan iman di jiwa.

————————————————————————————–

*Minta maaf kepada pengunjung-pengunjung kerana agak lama tidak memasukkan entry baru. Balik ke Malaysia ini, masa agak tidak mengizinkan saya untuk menulis.. Insyaallah, saya cuba berkongsi apa yang dirasa bersama kalian. Terima kasih atas kesudian kalian melawat laman yang tidak seberapa ini.

4 Respons to this post.

  1. Posted by syahmi mansor on 7 Ogos 2008 at 6:57 pm

    alhamdulillah, jazakallah syazwan di atas perkongsian yg menarik ini. diharapkan saudara dpt la memanfaatkan segala pengalaman dan ilmu spanjang program wow. doakan jua diri ini dapat menjadi lebih kuat, setelah membaca entri ini, terasa diri ini belum cukup diuji.

    anda mmg wow lah!!

  2. syabas, nta membawa adik adik itu berfikir ke hadapan.

  3. Posted by sinar on 8 Ogos 2008 at 8:53 pm

    mabruk juga ana ucapkan..pengalaman berharga tu..yg penting menjelaskan matlamat sebenar pada adik2 itu usaha murni..moga Allah berkati usaha anta..Rabbuna ma3ak..

  4. mabruk~! kupasan pendedahan yg sgt baik

Balas kiriman ini